Selasa, 11 Ogos 2009

H1N1

Sejak kebelakangan ini, Influenza A (H1N1) menjadi perkara yang mengancam nyawa kepada seluruh masyarakat dunia. Wabak yang meletus itu semakin mencemaskan dengan jumlah kes jangkitan yang dikesan melebihi 2,000 dilaporkan membabitkan 21 negara dan sejumlah kematian yang besar akibat H1N1.

Pada peringkat ini, amat penting bagi masyarakat umum mengambil langkah berjaga-jaga terhadap ancaman selsema baru ini di samping membina kesedaran mengenai langkah keselamatan yang boleh diambil bagi mencegahnya daripada merebak.

Sebagaimana yang kita ketahui, pada peringkat ini, wabak H1N1 menyebabkan penyakit sukar untuk bernafas disebabkan oleh sejenis virus baru hasil campuran dua jenis virus iaitu virus babi dengan unsur genetik manusia dan burung yang mampu menjangkiti orang lain. Tanda awal H1N1 ialah seperti selesema, termasuk demam, batuk, sakit kepala, sakit otot dan lenguh-lenguh sendi, sakit tekak dan hidung berair dan kadangkala muntah serta cirit-birit.

Penyakit itu mula merebak apabila mereka yang dijangkiti menggunakan tangan untuk menutup mulut ketika batuk atau bersin, kemudian menyentuh sebarang permukaan, atau bila titisan-titisan air tersebar ke udara. Mereka yang tidak dijangkiti kemungkinan menyedut udara yang sudah tercemar, atau menyentuh tangan mereka yang dijangkiti atau permukaan yang tercemar lalu terdedah kepada penyakit berkenaan.

Oleh itu, bagi mencegah ia daripada merebak, seseorang itu perlu sentiasa mengekalkan kebersihan yang sewajarnya; sebagai contoh, tutup mulut dan hidung setiap kali anda batuk atau bersin dengan tisu atau dengan tangan kemudian buangkan tisu itu segera dan sentiasa cuci tangan dengan sabun antibakteria atau air.


Jika anda sakit atau terdapat tanda-tanda seperti terkena selesema, duduk saja di rumah dan elakkan bersentuhan dengan orang lain, elakkan pergi ke tempat yang dipenuhi orang ramai, tempat awam atau menggunakan kenderaan awam. Elakkan juga menyentuh mata, hidung dan mulut kerana rembesan daripada tempat itu mengandungi virus dan boleh menjangkiti orang lain.


Antara tanda yang perlu diteliti di kalangan kanak-kanak:
a. Sukar bernafas atau sesak nafas
b. Bibir berubah menjadi biruSering keletihan atau tidak mampu bergerak
c. Kejang pada bahagian leher
d. Kelihatan keliru
e. Mengalami sawan atau kekejangan
f. Tidak membuang air kecil selama 12 jam


Antara tanda di kalangan orang dewasa:
i. Demam berlanjutan selama lebih lima hari
ii. Batuk tanpa mengeluarkan kahak
iii. Sukar untuk bernafas, walaupun ketika sedang berehat
iv. Sakit dada ketika bernafas
iiv.Bibir berubah menjadi biru
vi. Demam yang berulang-ulang dan sesak nafas walaupun kelihatan seperti telah sembuh
vii.Pengsan


Bersihkan tangan bagi mencegah jangkitan H1N1
1. Ratakan sabun ke telapak tangan.
2. Gosok secara menyeluruh sehingga ia berbuih.
3. Sental di antara celah jejari kerana kawasan ini dikenali sebagai ‘tempat paling digemari’ oleh kuman.
4. Sental setiap jari pada tapak tangan sehingga ia bersih.
5. Gosok belakang tangan dan juga pergelangan tangan anda.
6. Akhir sekali, bilas secara rata dengan air bersih dan keringkan dengan kain bersih atau tisu.

Tiada ulasan: